HARI ‘ASYURA’:
BERPUASALAH SEHARI SEBELUM DAN SELEPASNYA
بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آلھ وصحبھ ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Bulan Muharram merupakan bulan yang pertama dalam kalendar
tahun Hijrah. Maka satu
(1) Muharram atau awal Muharram adalah
lebih dikenali juga dengan sebutan awal tahun baru Hijrah.
Keutamaan bulan Muharram ialah kerana ia termasuk antara bulanbulan
haram yang mempunyai banyak kelebihan. Bulan-bulan
haram itu terdiri daripada bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram
dan Rejab. Bulan-bulan haram merupakan waktu yang sangat
afdhal untuk mengerjakan dan memperbanyakkan ibadah puasa
selain bulan Ramadhan.
Di antara empat bulan haram tersebut, yang lebih afdhal untuk
melakukan puasa ialah pada bulan Muharram.
Ini berdasarkan
hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu
‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Puasa yang afdhal sekali selepas puasa di bulan
Ramadhan ialah (puasa) di bulan Allah iaitu bulan Muharram.”
(Hadis riwayat Muslim)
Amalan Berpuasa Di Bulan Muharram
Dalam bulan Muharram, selain daripada hari yang kesepuluh yang
sudah dikenali dan diketahui ramai dengan panggilan hari
‘Asyura’, terdapat juga beberapa hari lain yang disunatkan untuk
berpuasa. Hari-hari yang dimaksudkan ialah hari kesembilan
(Tasu‘a’) dan hari kesebelas.
Bahkan Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dalam Kitab al-Umm dan
al-Imla’ menyatakan bahawa digalakkan untuk berpuasa pada
ketiga-tiga hari tersebut.
Selain daripada tiga hari yang telah disebutkan di atas, adalah
sangat digalakkan juga untuk berpuasa pada sepuluh hari terawal
di bulan Muharram. Bahkan sepanjang bulan Muharram,
berdasarkan hadis di atas.
Tuntutan Berpuasa Hari ‘Asyura’, Sebelum Dan Selepasnya
Tuntutan untuk berpuasa pada sembilan, sepuluh dan sebelas
Muharram itu adalah berdasarkan hadis-hadis Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam antaranya:
Puasa Hari Tasu‘a’
Berpuasa pada hari kesembilan bulan Muharram adalah
berdasarkan hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallahu
‘anhuma dia berkata:
Maksudnya: “Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda memerintahkan (para
sahabat Baginda) untuk melakukan puasa pada hari itu, mereka
berkata: “Wahai Rasulullah! (Bukankah) sesungguhnya hari
‘Asyura‘ itu hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan
Nasrani?”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila
pada tahun yang akan datang, insya Allah kita akan berpuasa
pada hari yang kesembilan”.
Berkata (‘Abdullah bin ‘Abbas): “Belum sempat menjelang tahun
hadapan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun
wafat.”
(Hadis riwayat Muslim)
Adapun antara hikmat berpuasa pada hari ‘Asyura’ itu bersamasama
dengan hari Tasu‘a’ (hari kesembilan daripada bulan
Muharram) itu agar tidak menyerupai dengan amalan orang
Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Asyura’ sahaja. Ini jelas
sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu
‘anhuma:
Maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari kesembilan dan
kesepuluh Muharram dan jangan meniru (menyerupai) cara
orang-orang Yahudi.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Puasa Hari ‘Asyura’
Manakala puasa hari ‘Asyura’, iaitu pada hari kesepuluh
Muharram, merupakan sunat yang sangat dituntut (mu’akkadah)
untuk dikerjakan.
Puasa hari ‘Asyura’ lebih dikenali oleh masyarakat umum
berbanding puasa hari ke sembilan dan kesebelas Muharram.
Adapun tuntutan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura’ telah
disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mu‘awiyah
bin Abi Sufyan Radhiallahu ‘anhuma bahawa dia mendengar
Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Ini adalah hari ‘Asyura’ dan Allah tidak
mewajibkan kepada kamu mengerjakan puasa padanya. Namun
demikian aku berpuasa pada hari ini. Maka barangsiapa yang
menghendaki (untuk berpuasa), bolehlah dia berpuasa dan
barangsiapa yang menghendaki untuk berbuka yakni tidak
berpuasa, maka boleh sajalah dia berbuka.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Sungguhpun berpuasa pada hari ‘Asyura’ itu hanya merupakan
puasa sunat, akan tetapi terdapat banyak hadis-hadis Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan keutamaan dan
fadhilat berpuasa pada hari ‘Asyura’. Oleh itu jangan dipandang
ringan atau disia-siakan.
Antara hadis-hadis itu:
1. Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan dalam
sebuah hadis, katanya:
Maksudnya: “Aku (Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma)
tidak pernah melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam
bermaksud untuk mengerjakan puasa pada suatu hari yang
Baginda lebih mengutamakannya daripada hari-hari yang
lain, kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura’ dan berpuasa dalam
bulan ini, yakni bulan Ramadhan”.
(Hadis riwayat al-Bukhari)
2. Manakala dalam hadis yang lain pula daripada Abu Qatadah
Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
Maksudnya: “Puasa hari ‘Asyura’ bahawasanya aku
mengharapkan daripada Allah moga mengampunkan dosadosaku
pada tahun yang sebelumnya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Puasa Hari Kesebelas Muharram.
Terdapat satu riwayat yang menganjurkan supaya kita berpuasa
sehari sebelum dan sehari selepas hari ‘Asyura’. Daripada Ibnu
‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
Maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan
janganlah menyerupai orang Yahudi dalam perkara ‘Asyura’.
(Oleh itu) berpuasalah kamu sehari sebelumnya atau sehari
sesudahnya.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Walau bagaimanapun menurut pendapat ulama, disunatkan
berpuasa pada hari ke sebelas Muharram; samada dia telah
berpuasa ataupun tidak pada hari kesembilan Muharram.
Bagaimana Jika ‘Asyura’ Itu Jatuh Pada Hari-Hari Yang
Makruh Berpuasa?
Adapun hari-hari yang dimaksudkan makruh berpuasa itu ialah
hari Jumaat atau Sabtu atau Ahad semata-mata.
Pada dasarnya hukum berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa
digandingkan dengan berpuasa sehari sebelumnya (hari Khamis)
atau sehari selepasnya (hari Sabtu) adalah makruh.
Perkara ini adalah berdasarkan tegahan atau larangan
Rasulullah Shallallahu‘alaihi wasallam melalui hadis yang diriwayatkan oleh
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Aku mendengar Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Jangan (sekali-kali) salah seorang daripada kamu
berpuasa pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari
sebelumnya atau (sehari) selepasnya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Begitu juga makruh hukumnya berpuasa pada hari Sabtu sahaja
atau pada hari Ahad sahaja tanpa ada sebab lain yang dianjurkan
untuk berpuasa. Ini kerana hari Sabtu adalah hari yang diagungkan
oleh orang-orang Yahudi, sementara hari Ahad pula adalah hari
yang diagungkan oleh orang-orang Nasrani.
Walau bagaimanapun jika digandingkan atau digabungkan hari
yang dimakruhkan berpuasa tadi dengan hari yang lain;
umpamanya Jumaat dengan Sabtu atau Sabtu dengan Ahad, maka
tidak dihukumkan makruh. Begitu juga halnya gabungan atau
gandingan Jumaat dengan Khamis atau Ahad dengan Isnin.
Namun tidak makruh hukumnya berpuasa pada hari Jumaat atau
Sabtu atau Ahad semata-mata jika puasa tersebut ada sebab lain
yang dianjurkan. Misalnya pada hari-hari tersebut (Jumaat, Sabtu
atau Ahad) bertepatan dengan puasa hari ‘Arafah dan puasa hari
‘Asyura’ atau hari tersebut bertepatan dengan kebiasaan seseorang
itu melakukan puasa yang diamalkan oleh Nabi Daud
‘Alaihissalam, iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari ataupun dia
melakukan puasa pada hari tersebut kerana puasa qadha atau nazar.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat untuk
mendirikan sembahyang (malam) daripada malam-malam yang
lain, dan jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat untuk
berpuasa daripada hari-hari yang lain kecuali puasa yang
(kebetulan bertepatan) seorang di antara kamu berpuasa (pada
hari itu).”
(Hadis riwayat Muslim)
Maka jika kita lihat kembali antara tujuan mengapa digandingkan
atau digabungkan hari ‘Asyura’ dengan Tasu‘a’ itu antaranya ialah
untuk membezakan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa
pada hari ‘Asyura’. Juga sebagai langkah berhati-hati; umpamanya
jika ‘Asyura’ itu jatuh pada hari Jumaat. Oleh itu untuk
menghindarkan seseorang itu daripada berpuasa hanya pada 10
Muharram itu (hari Jumaat) semata-mata, maka digandingkan atau
digabungkan puasa ‘Asyura’ itu dengan hari lain, iaitu hari ke
sembilan (Tasu‘a’) atau sehari selepas ‘Asyura’ .
Walau bagaimanapun ini bukan bermakna jika hari ‘Asyura’ itu
jatuh pada hari Jumaat, maka barulah disunatkan untuk berpuasa
pada hari sebelumnya (hari kesembilan) atau hari selepasnya (hari
kesebelas). Bahkan jika ‘Asyura’ itu jatuh pada hari selain hari
Jumaat, maka tetap juga disunatkan untuk berpuasa pada hari
kesembilan dan kesebelas Muharram.
Sebagai kesimpulan, selain bulan Ramadhan, bulan Muharram
merupakan antara bulan yang paling afdhal untuk melakukan dan
memperbanyakkan puasa. Di samping hari ‘Asyura’ (10
Muharram) yang sudah diketahui dan dimaklumi sebagai hari yang
disunatkan berpuasa padanya, terdapat juga dalil-dalil yang
menggalakkan untuk berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram)
dan hari ke sebelas Muharram. Bahkan digalakkan juga untuk
berpuasa pada sepuluh hari awal bulan Muharram dan di sepanjang
bulanMuharram.
igot this article from perubatan yahoo groups..just wanna share here...
source